Sunday, July 11, 2010

Mencelah: "Filtering"

Apa penunggang motosikal lakukan apabila berdepan dengan kesesakan jalanraya?
a) mengikut beratur besama-sama kenderaan lain
b) mencelah di antara kenderaan di atas garisan tengah (jalan 2 lorong)

Jika anda pilih a) kemungkinan besar anda seorang penunggang Gold Wing. Tapi kebanyakan penunggang motosikal akan memilih b).

Istilah yang digunakan di Barat ialah "Filtering" atau dalam bahasa Melayu, menapis. Kenapa "Filtering"?

Kita ambil contoh menapis air kopi dengan menggunakan penapis; kalau dulu, kopi yang dihasilkan oleh orang kampung, hasil serbuk kopi yang diperolehi agak kasar. Jadi selepas kopi dibancuh, serbuk kopi itu terpaksa ditapis supaya ia mudah untuk diminum.

Serbuk yang besar kebanyakannya akan tersangkut pada penapis, manakala serbuk yang lebih halus akan melepasi penapis dan akan mendap di dasar cawan.

Serbuk yang besar ini mewakili kenderaan besar, manakala serbuk yang halus mewakili motosikal tadi.

Semasa kesesakan lalulintas, lebih buruk lagi kenderaan besar hampir tidak bergerak, penunggang motosikal lebih cenderung untuk mencelah di antara kenderaan. (That why I choose motorcycle).

Perbuatan ini dilihat agak berbahaya jika langkah-langkah keselamatan tidak diambil sebagai langkah berjaga-jaga.

Beberapa tips-tips keselamatan perlu diamalkan ketika mencelah-celah di antara kenderaan lain:
1) Jika berdepan dengan kesesakan lalulintas (bergerak perlahan), perlahankan juga kelajuan motosikal anda.
2) Berikan tumpuan lebih kepada kenderaan dihadapan, kemungkinan mereka akan menukar haluan secara tiba-tiba dengan memberi isyarat atau tidak. (Isyarat lewat).
3) Bunyikan hon amaran jika mendapati ruang untuk anda mencelah semakin mengecil disebabkan oleh kederaan dihadapan ingin menukar haluan atau sedang menggunakan telefon bimbit..(hilang tumpuan memandu).
4) Jangan memotong/mencelah kenderaan berat (lori) di sebelah kiri (jika ia berada di lorong memotong), kerana pemandu tidak dapat melihat kedudukan anda.
5) Jangan mencelah di antara kenderaan berat (lori) ketika mereka bergerak seiringan.
6) Jangan mencelah di sebelah lori jika didapati ada penungang lain dihadapan sedang berbuat demikian. Kemungkinan penunggang tersebut akan memperlahankan motosikalnya dan terpaksa memberi laluan kepada sang lori. Jika ini berlaku ruang untuk bergerak seiringan di tepi lori tidak ada kerana ia sekadar cukup untuk memuatkan sebuah motosikal sahaja. Peluang untuk digilis oleh tayar belakang amat tinggi bagi penunggang motosikal di belakang.
7) Jika kenderaan lain tidak bergerak, perlahankan lagi kelajuan motosikal. Beri tumpuan lebih kepada kemungkinan ada motosikal lain akan keluar di celah-celah kenderaan untuk memasuki lorong tengah.
8) Bunyikan hon jika perlu untuk memberi amaran kepada kenderaan lain.
9) Jari hendaklah bersedia pada tuil pencengkam dan brek hadapan. (brek belakang stand-by dengan kaki la).
10) Jika ada ruang di lorong perlahan, gunakannya, jangan sentiasa berada di tengah, kemungkinan ada motosikal yang lebih laju ingin memotong anda.
11) Jika ingin keluar dari celah kenderaan, beri laluan kepada motosikal lain melepasi anda, dan jika keluar, hendaklah dengan kadar segera supaya tidak mengganggu kelancaran pergerakan motosikal lain.

Kemalangan memang tidak berbau, dan segalanya adalah sudah suratan takdir. Tetapi kata-kata itu perlulah disertakan dengan usaha bersungguh-sungguh untuk mengelak kemalangan dan bukannya menyerah kepada takdir semata-mata. Tidak mahu kemalangan itu disebab oleh kecuaian diri sendiri, menyebabkan malapetaka pada orang lain.

No comments:

Post a Comment